Tuesday, December 13, 2011

Kuih Habuk2 Sago Gula Melaka


Bahan2:
  •  500gm sago biji (dicuci, rendam 10-20 minit dan ditoskan)
  • 250 gm kelapa parut (putih)
  • 400gm gula melaka yang dihiris2 (boleh dikurangkan jika tidak mahu manis kepada 250gm-300gm)
  • sedikit garam (~1 sudu kecil)
Cara2:
  1. Masukkan sago biji, separuh bahagian kelapa parut dan garam ke dalam mangkuk besar dan gaul rata.
  2. Masukkan satu lapisan sago yang ditoskan ke dalam loyang, tekan2kan sedikit agar mampat.
  3. Taburkan gula melaka di atasanya,
  4. Masukkan satu lapisan akhir sago pula, tekan2 lagi.
  5. Taburkan gula melaka dan kelapa parut di atasnya.
  6. Rebus air kukusan bersama daun pandan sehingga mendidih.
  7. Kukuslah kuih selama lebih kurang 25-30 minit atau sehingga sago benar-benar kembang.
  8. Bolehlah potong apabila kuih benar-benar sejuk
<<<Selamat Mencuba >>>


Thursday, November 24, 2011

Saturday, November 19, 2011

Puding Roti


Dalam kesibukan siang tadi sempat lah kedapur kejap buat puding roti, sementara kedai ID  datang rumah untuk berbincang mengenai kabinet2 dan langsir rumah. Kebetulan pula ada lebihan roti gardenier yang tidak habis, sebelum tarikh luputnya tiba lebih baik digunakan .
Resepi puding roti telah sempat saya salin dari Chef Chearson Lian yang disiarkan di TV baru-baru ini. Memang mudah dan sedap dan manis rasanya sedang elok. Kepada sesiapa yang tiada berkesempatan menonton atau menyalin resepi mudah puding roti Chef Chearson, disini saya kongsikan bersama:
Bahan-bahan:
  • Roti - 1 buku (saya guna Gardenier )
  • Susu segar - 2 cawan ( atau lebih supaya dapat acup susunan roti)
  • Gula pasir - 5 sudu besar
  • Telur : 4 biji
  • Esen vanilla - 1 sudu kecil
  • Secubit garam
  • Serbuk kulit kayu manis (cinnamon powder) or sebuk buah pala (nutmeg) - ikut suka (untuk taburan)
  • Kismis kering - ikut suka (untul taburan)
  • Gula perang (brown sugar) - ikut suka (untuk taburan)
 Cara-cara;
  1. Sapukan kepingan roti dengan mentega. Potong empat dan susun rapat2 di dalam loyang pembakar.
  2. Masukkan susu segar , garam, gula pasir dan esen vanilla dalam periuk dan panaskan setakat untuk cairkan gula saja, tiada perlu sehingga mendidih. Tutup api.
  3. Pukul telur untuk sebatikan kuning dan putihnya. Kemudian, campurkan telur ke dalam adunan susu tadi. Kacau rata.
  4. Tuangkan adunan susu dan telur ke atasu susunan roti.
  5. Taburkan kismis, serbuk kilit kayu manis atau buah pala (cinnamon/nutmeg powder ) dan gula merah.
  6. Bakar puding pada suhu 180 darjah Celcius selama 25-30 minit.
  7. Enak dihidangkan bersama ais-krim, kastad atau susu sejat (ideal/carnation yang dicampurkan dgn gula dan esen)
Nota: Puding saya kali ini memang nampak kurang kembang sedikit kerana susu yang tidak mencukupi. Boleh tambah susu jika ada.
 ~Selamat Mencuba~

Tuesday, September 13, 2011

Raya-Raya 2011 - Part 2 (Kawan-Kawan Muqri)

Suatu petang Muqqri beritahu ku dalam sehari-dua sebelumnya 'Mama , kawan2 iki nak datang lepas asar Sabtu ini'. Terkejut jugak bila tetiba je beritahu, padahal sudah ada beberapa jemputan raya jiran pada hari yang sama juga.  Jawap ku " Ye ke, berapa orang agak2nya?" . " Dalam satu kelas mama" - jawab Muqri. "Ramai juga tu sayang kalau betul satu kelas, tapi Mama tak siap apa2 ni. "balas ku. "Takpa, makan kuih raya pun takpe Mama. Iki boleh tolong Mama masak , sebab Iki pun pandai juga".Begitulah Muqri yang sememamg pandai menjaga hati Mamanya. (Yang rajin buat waffles sendiri, ommelette dan pernah buat crossaint dan bun ikut resepi dari internet semasa Grade 6, memang jadi budak tu buat) 
Makanya, apa yang mudah dan terlintas untuk kusediakan hanyalah mee goreng, puding caramel , ayam drummets dan nuggets goreng serta nasi impit & lemang + rendang serunding.
Walau datangnya agak lewat dan tidaklah seramai satu kelas seperti apa yang dikatakan oleh anakku,  meriah jugalah bebudak ni berborak sesama sendiri. Yang perempuannya manis dan ayu2 belaka serta berbudi bahasa menawarkan bantuan untuk menolongku ke dapur lebih2 lagi yang bernama Inshirah tu.hehe . Seronok betul engok2 budak2 ni berborak sampai maghrib baru balik..
Minggu hadapan rancangan rakan2 Amirul pula beberapa konvoi akan datang beraya dari rumah ke rumah.Begitutlah mereka setiap tahun akan datang secara beramai-ramai beraya dari rumah ke rumah tanpa menunggu rumah terbuka.....
Sedang ku fikirkan menu apa untuk dihidangkan. :)

Thursday, September 8, 2011

Puding Krim Karamel

Juadah manis untk berbuka puasa hari ini. Di bawah adalah resepi untuk dikongsi bersama.

Gula Hangus (Karamel)
    • 1/4 cawan gula pasir
    • 1/4 cawan air putih 
Puding
    • 4 biji telur + 1 telur (ambil kuning saja) 
    • 3 cawan susu UHT (fresh milk pun boleh atau susu Ideal/Carnation)- saya guna 1 cawan UHT creme Anchor dan 2 cawan fresh milik.)
    • 1/2 cawan gula
    • 1 sudu teh esen vanilla
    • 1/2 sudu teh pewarna kuning (orange yellow) - jika mahu

Cara-cara

Gula hangus
  1. Goreng gula pasir atas kuali pada api kecil sehingga gula menjadi kekuningan emas. Setelah gula menjadi kekuningan emas, masukkan air  putih dan kacau hingga gula hangus cair keseluruhannya di dalam air.
  2. Angkat dan tuang gula hangus ke dalam mangkuk kaca acuan untuk puding.
Puding
  1. Pukul telur dan kuning telur hingga sebati dengan garpu didalam mangkuk
  2. Masukkan susu dan gula pula ke dalam mangkuk adunan telur dan pukul rata.
  3. Tuangkan ke atas mangkuk kaca acuan yang ada gula hangus. 
  4. Kukus selama 1.5 jam. (Buka tudung kukusan setiap 1/2 jam dan buang air  kukusan)
  5. Angkat dan biar sejuk sepenuhnya sebelum dibalut dengan plastic wrap dan masukkan dalam peti sejuk
  6. Hidang semasa sejuk. 
 ~ Selamat Mencuba ~


Saturday, September 3, 2011

Raya-Raya 2011 Part 1 - Melaka


Kebiasaan seperti tahun2 sebelumnya, kami sekeluarga akan pulang ke Kuala Terengganu (kampung sebelah suami) 2-3 hari sebelum hari raya untuk habiskan puasa dan sambutan raya di sana. Kemudian barulah pulang ke Melaka untuk berjumpa saudara-maraku pula.Anak2 memang amat gembira sekali dapat berjumpa dengan sepupu-sepupunya yang semuanya hampir sebaya. Aneka jenis lauk2 dan nasi2 pantai timur yang terkenal kehebatannya membuat aku begitu rindu sekali. Namun begitu, pada tahun ini perancangan kami berubah arah pula di saat akhir.Mengingatkan janjiku untuk melawat ibu saudara yang baru sahaja kehilangan suami tercinta (bekas imam dan abang kepada allayarhamah ibuku) dalam bulan puasa, maka bercadang untuk pulang ke Melaka sahaja. Alhamdulillah, setelah puas mencari hotel untuk menginap maka dapatlah juga tempah di salah sebuah hotel di Farmosa Garden, Klebang, Melaka.(pertama kali kami menginap..bolehlah).
Tiada banyak rumah yang dapat kami pergi...hanya 7 buah sahaja dan kesemua ziarah itu kami lengkapi dalam masa satu hari sahaja. Sayangnya kami terlupa nak ambil gambar2 untuk postkan disini, rumah kampung Melaka yang adanya masih dikekalkan bentuk lama dan ada yang dimodenkan.Setiap rumah yang kami singgah, semuanya menyediakan juadah yang hebat2 belaka. Ketupat rendang, lemang, nasi minyak, lauk2, tapai, dll semuanya ada lagi maklumlah hari raya kedua..hehe. Rumah pertama yang kami singgah adalah rumah Kak Ani (sepupuku dan ibu kepada penyanyi Aril AF7 dan Izwan Pilus) . Rumah kak Ani memang tiap-tiap tahun selama seminggu sentiasa tidak lekang dikunjungi tetamu , maka iti dia memang  perlu bersedia awal agar hidangan mencukupi. Kebetulan Aril dan Izwan ada dirumah ketika kami sampai, kelihatan bukan main celoteh mereka dok melayan peminat2 terutama Aril yang semakin hencem dan matang tu. Kemudian ku ziarahi pula Mak Cet (sebutan pelat untuk Makcik..hehe)  Pe'ah (satu2nya adik beradik ayahku yang masih hidup, yg kini sudahpun menjangkau usia lebih 90 tahun) di rumah  anak sulongnya Abang Bujang .. Mak Cet kelihatan masih sihat dan kuat lagi ingatannya..sebut je Alin terus dia ingat. Cuma mata dan pendengarannya sedikit berkurangan serta lutut kakinya yang semakin lemah. Wahai Mak Cet, hanya dia sahaja yang ada untuk mengingatkan aku kepada ayah...:( yang sudah lebih 20tahun meninggalkan kami adik beradik.
Kami sempat juga menziarahi Mak Ngah (kakak kepada arwah ibuku) di Kampung Melangkan yang hanya kini hanya tinggal berdua bersama anak tunggalnya setelah ditinggal suaminya beberapa tahin lalu. Tidak pernah kulupakan untuk melawat Mak Ngah setiap kali pulang ke kampong, yang kelihatan semakin uzur dari tahun ke tahun itu
Saat yang paling tidak dapat kulupakan adalah setiap kali pergi rumah Pakcik Hj Hassan (adik kepada arwah ibuku dan juga imam dan kadhi Kg Masjid Baru, Nyalas), pasti ada saja lauk-lauk kampung yang sedap. Cara masakan makcik memang pure minang style membuatkan kami bertambah2 nasi. Last year, makcik sediakan rendang 'napuh' atau 'rusa kecil' yang dipanggang dahulu sebelum di'rendang'kan. MashaAllah...punyalah sedap, belum pernah kurasakan mana2 masakan sebelum ini selain masakan ibuku dan arwah maklong ku. Kali ini, daging salai masak cili api dan asam pedas kampong style paling mantop pula serta lauk2 dan ulaman2. Apa2pun,  kami serbu kedua2 lauk ini sebab memang lazat sgt...alhamdulillah, rezeki kami dapat merasai lagi masakan Makcik.  
Ramai juga sepupu2ku yang tidak dapat ku jumpa sebab ada yang memulakan raya mereka desebelah mertua dan ada juga yang bali sekejap saja. Walau apapun, berhari-raya dikampung adalah suatu kemestian buatku supaya anak2 tidak lupa di mana kampung halaman dan asal-usul ibubapanya dan mengenali saudara-mara. InsyaAllah.- to be continued

Saturday, August 27, 2011

Tip-tip Asas Sebelum/Semasa Menjalankan Perniagaan Biskut Dari Rumah

Alhamdulillah, akhirnya dapatku sempurnakan segala pesanan pada 25/8/2011 termasuk pesanan  yang dimaklumkan selepas tarikh akhir penerimaan permohonan pada 19/8/2011. Walau semalam ada lagi yang memesan untuk dapatkan biskut Alyna Lyn namun terpaksa ku tunda hingga ke minggu kedua hari raya supaya dapat kuberi tumpuan pada kerja-kerja rumah sebagai persediaan hari raya aidilfitri pula.
Tiada banyak persiapan yang perlu sebenarnya, tiada pertukaran perabot atau perhiasan dalaman rumah selain dari membersih dan menyusun semula perabot sediaada. Perabot, langsir dan alas-alas sofa, carpet malah perhiasan bunga yang sangat aku gemari semuanya  masih elok dan boleh digunakan lagi. Persediaan raya untuk tahun in bolehlah dikatakan yang paling minima sepanjang aku ingat dalam menyambut hari raya.
Mengimbau kembali mengenai perniagaan cookies raya yang baru setahun dua kuceburi secara kecil2an  ini , dapatku simpulkan beberapa 'improvements' perlu dilakukan dimasa hadapan iaitu dari segi konsistensi  acuan/bentuk biskut, rasa, harga, pilihan bungkusan ( packing), strateji pemasaran, tenaga kerja dan pembahagian masa serta stok. 
Sebagai perkongsian bersama pelawat-pelawat yang mungkin mempunyai aliran minat yang sama dalam perniagaan biskut raya dan rujukan diri, di sini kuturunkan beberapa 'tips' asas:
  1. Pilihan biskut yang tepat untuk jualan di hari raya. Anda mungkin mempunyai kemahiran dalam pelbagai biskut, namun perlu fokus kepada biskut atau biskut-biskut yang menjadi kekuatan anda dan keunikan biskut anda dari yang lain.
  2. Penetapan Sasaran Pelanggan (Target Customer). Semakin luas lingkungan kawasan sasaran anda maka semakin tinggilah keperluan kos operasi diperlukan (tenaga,pengangkutan, bahan-bahan asas dan masa). Ini terpulang pada keupayaan masing2 asalkan kualiti produk tidak terjejas. 
  3. Pengedaran sample biskut pilhan yang lebih awal (untuk yang baru nak memperkenalkan biskut) kepada pelanggan sasaran atau ajen distribusi, seeloknya 2 bulan sebelum bulan puasa.
  4. Penetapan tarikh akhir penerimaan pesanan mengikut kesesuaian tenaga kerja yang ada. 
  5. Penyediaan dokementasi pangkalan data pelanggan dalam bentuk spreadsheet atau apa jua format contoh (.xls) paling mudah. - (Contoh format akan diberi kelak)
  6. Anggaran stok bahan-bahan biskut bersesuaian dengan jumlah pesanan yang diterima.
  7. Dapatkan maklumbalas dari sempel biskut edaran dan cuba selaraskan perubahan 'improvement' contoh kurangkan gula jika ada maklumbalas pelanggan mengatakan terlalu manis, lebihkan inti dan sebagainya. Mungkin anda tidak dapat memenuhi kesemua maklumbalas pelanggan , pilihan 'majoriti' adalah yang terbaik.
  8. Pilihan bahan-bahan yang segar dan berkualiti baik.
  9. Beli bahan-bahan biskut seawal mungkin bagi mengelakan kekecewaan kerana kehabisan stok di pasara-raya atau baking center terutamanya bahan-bahan spt  inti/jem, mentega dan balang/bekas kuih yang mana pembekalnya agak terhad.
  10. Belilah bahan-bahan dalam anggaran yang besar (in volume), bukan sedikit-sedikit, tapi tidaklah berlebihan dari jumlah keperluan pesanan. Disini pengemaskinian rekod atau pangkalan data pesanan pelanggan amatlah penting sebagai rujukan anggaran keperluan bahan-bahan sebelum pergi ke pasar-raya. JANGAN MALAS!!
  11. Survey kedai yang menawarkan harga termurah bahan-bahan biskut. Kebiasaannya pasar-pasar raya dan baking center akan menawarkan harga diskaun apabila hampir bulan ramadan. (Contohnya TESCO pada tahun ini telah menwarkan harga yang termurah untuk balang-balang kuih berbanding dari pasar-pasar raya lain yang sempat saya pergi, malah semakin hampir hari-raya, semakin murah pula harga ditawarkan.)
  12. Pilihan balang/bekas yang menarik dan bersesuaian dengan bentuk dan kerapuhan biskut. 
  13. Penetapan harga biskut mengikut jumlah isian dalam balang/bekas kuih. Lazimnya, ramai peniaga biskut raya menetapkan harga mengikut jumlah 'standard' contoh 50pcs-RMxx, 100 pc- RMyy tapi anda boleh juga tetapkan harga dalam jumlah yang pelbagai asalkan jumlah isian biskut memenuhi balang/bekas dengan elok (tak loose). Maknanya,  kita cari 'balang/bekas dahulu, dapatkan jumlah tepat biskut yang muat dalam balang tersebut  dan barulah tetapkan harganya. (Reversed mathematical calculation) . Jangan lupa kemaskini rekod untuk rujukan tahun berikutnya pula..:)
  14. Labelling - Banner perniagaan anda dan tag tarikh luput biskut untuk menambah  keyakinan pelanggan/ajen distribusi terhadap anda. 
  15. Penyediaan Blog atau lamanweb (facebook, flickr,Fotopage,dll) perniagaan sudah menjadi trend terkini untuk memuatkan gambar dan penerangan ringkas biskut anda. Namun begitu, bagi  produk baru , blog atau lamanweb bukanlah merupakan satu-satunya saluran pemasaran produk anda yang terbaik. Dari pengalaman dan perhatian saya, > 80% pembeli (buyer) adalah diperolehi melalui  'offline' (luar internet) @  'sampling method' dan bukan dari internet  melainkan jika jenama produk anda atau syarikat anda yang memang sudah dikenali ramai dan diiktiraf.
  16. Harga yang kompetitif (lakukan survey diinternet atau dikedai2) ,  tapi hendaklah pulang modal. (kalau tidak bukanlah berniaga namanya...hehe)
  17. Kekalkan hubungan yang baik anda dengan pelanggan dan ajen2 pengedaran anda.
  18. Improvisasi pada biskut samada dari segi rasa, rupa dan ' packaging ' haruslah dilakukan dari masa ke semasa bagi mengekalkan keyakinan pelanggan terhadap produk anda dan menghadapi persaingan yang semakin hebat. Jangan takut untuk buat sedikit perubahan pada resepi jika anda rasa perlu.
  19. Sifat jujur dan amanah di dalam perniagaan adalah dituntut dalam Islam, maka kekalkanlah sifat ini agar perniagaan kita diberkati Allah SWT. 
 Dalam saya menrurunkan langkah-langkah.tip-tip di atas , saya juga memesan pada diri saya supaya menjadi lebih 'organised' , merancang dengan baik setiap langkah yang ingin dilaksanakan bagi memastikan hasil-hasil yang diusahakan adalah yang terbaik dan dapat memuaskan hati pelanggan.
"DO FIRST THING FIRST RIGHTLY"
"USAH TAKUT PADA KEGAGALAN KERANA KEGAGALAN SEBENARNYA MENGAJAR KITA UNTUK LEBIH BERUSAHA DAN INSYAALLAH KEJAYAAN AKAN MENJADI MILIK KITA."
~ Selamat Mencuba~

Sunday, August 7, 2011

Kek-kek Kukus dibuat hari ini.

Hari ini memang telah diperuntukkan sebelah siang untuk tumpukan kepada kek-kek kukus saja. Oleh kerana hendak buat 3 kek kukus dalam sehari dan limitasi pada muatan/saiz kukusan ( saiz sederhana dan kecil saja yang ada buat waktu ini ), aku hanya dapat membuat 1/2 adunan saja untuk kek kukus buah dan kek kukus hati pari , manakala sebelah petang pula satu adunan penuh untuk kek kukus lumut.

Kek kukus buah dan kek kukus pari dalam bekas empat segi kecil bersaiz 4"x4"x3" dgn keberatannya ~280gm setiap satu.
Kek-kek lumut di dalam bekas empat segi 4"x4"x3", keberatan 280gm (.1/4kg)  dan 6"x6"x3" keberatannya ~520gm(>1/2 kg) setiap satu. Untuk makluman, kek-kek kukus ini boleh bertahan sehingga 6 bulan jika ianya disimpan dan ditutup dengan baik di dalam peti sejuk (chiller). 

Saturday, August 6, 2011

Crystall Ball Cookies

Dalam kesibukan ingin menghabiskan 300 biji samperit tempahan pagi tadi , sempat jugalah aku mengadun biskut crystall ball yang menjadi kesukaan anak2. Bikut ini ala2 biskut arab dengan sentuhan gula halus dipermukaan menjadikan biskut ini amat istimewa untuk dijadikan sebagai salah satu biskut untuk hari perayaan atau parti2 hari lahir anak2. Warnanya pun sudah  mengancam. membuatnya untuk tempahan serta sempel 'last minit' dari rakan2. Walaupun penat, namun biskut yang kubuat hari ini alhamdulillah menjadi cuma api oven ada sedikit masalah disebelah kanan di mana ia agak panas sedikit. dan biskut disebelah itu kelihatan lebih 'brownish' Maka . terpaksalah aku ketepikan dulang pembakar lebih kesebelah kiri bagi mengelakkan biskut jadi hangus. Tak mengapa, itu cuba masalah kecil sahaja.:)



Crystal ball cookies of 43pcs


Friday, August 5, 2011

PENGUMUMAN


Nota:
Assalamualaikum dan salam sejahtera pelawatk dan pelangganku.
Sehubungan dengan pengesahan dari pihak JAKIM dan JAIS mengenai status haram mentega Golden Churn (creamy butter) pada 3 Ogos 2011 atas sebab penemuan DNA babi di dalamnya. perlu dinyatakan di sini bahawa Alyna Lyn's Homemade TIADA menggunakan mentega berjenama Golden Churn (creamy butter) di dalam kek2, kek cawan serta biskut2. Mentega yang kami gunakan adalah SCS, Anchor dan buttercup sejak mula beroperasi.
Sekian, harap maklum.
Terima kasih
Alyna Lyn

Wednesday, August 3, 2011

Tempahan 'Pre-raya' untuk Penghantaran Minggu ini

Sempat buat hari ini hanya snow almond roll untuk tempahan dan sample yang di pesan untuk minggu ini. Siang tadi agak sibuk diluar , sebab tu masa utk cookies agak terhad.  Masih ada yang 'pre-raya pending order'  yang perlu ku penuhi dalam minggu ini sepert kek2 kukus, samperit, crystal ball dan mocca/capucino/coffee log...cuba juga. InshaAllah esok cuba buat 2 jenis biskut ...biasanya waktu siang sahaja yang ada , sedangkan malam memang dikhaskan utk tarawikh sehingga pukul 11. Lepas tu barulah boleh sambung sikit..jika ada.

Chocolate Snow London - made this on Wednesday ago
Choc chip cookies of 50pcs each container

Samperit Tradisional - made this yesterday (Thursday)

Mocca/coffe log- made this today (Friday)

Wednesday, July 20, 2011

Minggu Sempel Biskut Raya 2011

Mula awal minggu ini, aku amat sibuk sekali dengan persediaan membuat beberapa sempel biskut raya untuk dihantar kepada 'rakan niagaku' di 3-4 pejabat. Cuma tahun ini, aku ingin fokus kepada empat jenis biskut yang mudah sahaja iaitu Tart Nenas Gulung, Almond London, Chocolate Chips dan Biskut Cornflakes. Snow almond biscuit akan menjadi biskut tambahan kerana resepi ini baru sahaja kupelajari dari kelas Hajjah Rahmah. Memang sedap sangat biskut ini serta rangup. Memang banyak jenis biskut yang kuboleh buat cuma kudrat tenaga yang dirisaukan, bimbang tidak dapat memenuhi masa dan kualiti biskut yang dijanjikan. Sekarang ini pun tempahan telah bertambah dari hari kesehari, inshaAllah akan ku laksanakan yang terbaik.
Tart Nenas gulung

Biskut Cornflakes With Oats

Antara Samples Biskut raya 2011
Sample Tart Nenas Gulung

Sample Biskut Almond London
Sample Biskut Choc Chip

Saturday, July 16, 2011

Perbezaan Kek Cawan & Mufin


Mufin Coklat

Kek Cawan Coklat


Apakah Perbezaan Antara Muffin Dan Kek Cawan?

Memang tiada ketara perbezaan dari segi rupa (selain mufin kelihatan meninggi sikit kerana sukatan serbuk penaik yang lebih sedikit) dan bahan-bahan yang digunakan antara kek cawan dan mufin. Seandainya frosting kita keluarkan dari permukaan kek cawan, maka perbezaannya menjadi amat pudar. Walaubagaimanapun, terdapat satu perbezaan yang mudah boleh kita ingati iaitu cara adunan kedua-dua kek ini dibuat iaitu:
- Kek cawan selalunya diadun secara 'creaming method' di mana mentega (butter) dan gula dipukul bersama sehingga kembang dan putih gebu , telur dimasukkan kemudian dan tepung digaul secara 'fold'.

- Manakala mufin pula selalunya tidak perlu dipukul, tapi dengan hanya mencampurkan bahan-bahan kering kedalam satu mangkuk dan campuran bahan-bahan basah ke dalam mangkuk yang berasingan. Maknanya, kita memerlukan dua mangkuk untuk membuat mufin, satu mengandungi bahan-bahan kering dan mangkuk satu lagi mengandungi bahan-bahan basah pula. Kedua-dua bahan di dalam mangkuk-mangkuk ini kemudiannya dicampurkan, gaul bersama dan adunan mufin pun siap. Dan kerana cara yang mudah ini maka  mufin dipanggil sebagai 'quick bread'.

- Kesimpulannya, atas sebab tiada banyak perbezaan inilah maka mufin boleh ditukar menjadi kek cawan dengan menambahkan frosting/topping di atasnya contoh mufin coklat menjadi kek cawan coklat dengan tambahan coklat frosting/ganache. Tanpa frosting, kek cawan akan nampak seperti mufin.

Sekian, itu saja tip dapat dipapar untuk kali ini,

Tuesday, July 12, 2011

Sambal Belimbing Besi


Bahan-Bahan
    • Cili kering  blend - 5 sudu besar
    • Bawang besar     - 2 biji (kisar)
    • Bawang putih      - 3 biji (kisar)
    • Ikan bilis             - 1/2 genggam
    • Kiub pati ikan bilis - 1/4 kiub
    • Belimbing besi       - 6-7 biji (dipotong 3)
    • Belacan bakar/goreng- 1 inci
    • Santan pekat     - 1/2 cawan (dihiris)
    • Minyak             - untuk menumis
    • Bawang besar   - 1 biji (dihiris)
    • Garam dan gula secukupnya
Cara-Cara:
  1. Tumis bahan kisar hingga naik bau
  2. Masukkan cili kisar. Kacau hingga cili agak garing sedikit. 
  3. Masukkan ikan bilis, kiub pati ikan bilis,garam, gula dan belacan. Kacau.
  4. Masukkan santan dan belimbing. Kacau dan biar dalam 15-20minit atau satan naik minyak pada api kecil.
  5. Sebelum angkat, masukkan hirisan bawang besar dan kacau sekejap.
~ Itu saja!! Selamat Mencuba ~

Thursday, July 7, 2011

Ibu Oh Ibu...Aku Merinduimu!!

Pada dua hari lepas, aku terbaca mengenai pemergian ibu tersayang sahabat lama kerahmatullah melalui facebook, dan terus hatiku menjadi sayu sekali dan hiba. Ku dapat rasakan bagaimana berat dan pilu hatinya, menghadapi kehilangan seorang insan yang telah melahir dan membelainya dari kecil hingga dewasa, kini telah menemui Allah Maha Esa  buat selamanya. Sepertinya, aku telah melalui keadaan yang sama kira-kira 20 tahun lalu, dan hingga kini perasaan hiba dan rinduku pada ibu masih kuat seolah-seolah hanya baru semalam sahaja beliau pergi meninggalkan kami sekeluarga. Tatkala aku mula menulis diblog pun entah sudah berapa cawan agaknya airmatku mengalir, begitu emosi sekali apabila teringatkan ibuku.

Oh ibu, kau pergi jua ketika aku begitu amat memerlukanmu , untuk mengajarku erti kehidupan sebagai seorang isteri serta ibu yang mana kira-kira baru 2 minggu sahaja aku tempuhi ketika itu. Masih banyak perkara tentangnya yang aku belum faham .Walaubagaimanpun, aku bersyukur kehadrat Illahi kerana memberikan ku kesempatan menjadi anakmu  yang pertama berkahwin, dan menjadi anakmu yang pertama memberimu cucu yang pertama di masa itu.  Dan masihku dapat bayangkan bagaimana sayunya hatiku apabila sehari selepas aku selamat melahirkan anak sulong, kakak telah terus membawa bayi kecilku itu kepadamu di hospital (dengan izin doktor) , lalu kau menyentuhnya dengan jari-jarimu yang semakin lemah itu dan menciumnya dengan linangan airmata.

Oh ibu,  aku masih teringat akan masakan-masakan ,kuih-muih dan biskut raya tradisi hasil dari tanganmu yang tiada kujumpa seenak itu sehingga kini.  Aku amat merindui masakanmu, inginku dekatimu dan pelajari satu persatu segala  ilmu masakan darimu dan genggam ia sekuat-kuatnya di dalam ingatan ini. Namun kesempatan itu bukan untukku, ibu pergi jua meninggalkan kami dengan kasih-sayang yang masih membara di setiap hati kami. Kami redha atas pemergiannmu wahai ibu.

Oh ibu, leteran sekali-sekalamu masih kedengaran. Tiada lain tujuanmu selain untuk mengajar kami menjadi  anak-anak yang baik -baik di masa hadapan, anak-anak yang sentiasa bersyukur dan mengingati Allah. Sifat sabar dan lembutmu tatkala  berbicara dengan sesiapa sahaja menjadi  ibu adalah seorang insan lain dari yang lain. Sifat sabarmu itu jua menjadi satu sumber inspirasiku dalam mengharungi kehidupan ini yang adakalanya  tenang dan adakalanya berombak.

Oh ibu, seandai masa ini dapat kuputar semula kepada masa ibu masih hidup, akan ku jagamu sebaik-baiknya dan kuatur setiap langkah dan biacarku yang terbaik agar bisa membuatkan mu sentiasa senyum dan bahagia. Tiada kedukaan yang akan menyinggahi jiwamu walau sesaat. Pemergianmu ibu telah membuat ayah amat terasa akan kehilangannmu. Ayah juga telah meninggalkan kami menemui Allah SWT dengan tenang hanya selapas 3 tahun pemergian ibu.
Ya Allah Ya Tuhan Kami. Sesunggunya Engkau Yang Maha Mengasihi Dan Mengetahui Segalanya.

Tiada wang dan harta segunung mana tingginya yang dapat menggantikan jasamu ibu, selain Alfatihah dan doa kuiringi buat ibu dan ayah selepas setiap solatku agar diampunkan segala dosamu, ibadahmu diterima dan rohmu ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman oleh Allah SWT.

Untuk sahabatku yang kusayangi ini,  kudoakan mu tabah menghadapi ujian Allah ini dan berdoa roh ibu tersayang di cucuri rahmat Allah.  Aku amat merinduimu sahabat, merindui melihatmu ceria  dengan keletahmu dan  menceriakan rakan2 FB mu yang lain kembali seperti dahulu. Biarlahku lihat dari jauh..

- Alyna Lyn

Nasi Serai Mudah


Bahan2:
1. Beras - 3 cawan/pot
2. Bwang Besar - 1 biji (dihiris)
3. Bwang putih - 4 biji (dihiris)
4. Daun pandan - 3 helai (disiat2 dan di belah 2)
5. Serai - 6 batang (dititik)
6. Kulit kayu manis - 1 batang
7. Bunga lawang - 3 kuntum
8. Bunga cengkih - 6 kuntum
9. Buah pelaga - 6 biji
10. Kiub pati ayam - 1/2 (kalau ada)
11. Minya sapi - 3 sudu (untuk menggoreng)
12. Garam secukup rasa (saya guna 1.5 sudu besar untuk sukatan ini. Jika kurang garam, rasa masakan tak naik)
13. Air secukupnya (bergantung pada jenis beras. Selalunya beras dan air sama paras)
14. Kismis dan gajus sebagai rasa tambahan.
Cara-cara:
- Panaskan minyak sapi dan tumis bawang besar dan daun pandan hingga layu dan naik baunya.
- Masukkan bawang putih, kulit kayu manis, bunga lwang, bunga cengkih, serai dan  buah pelaga.
   Kacau  sebentar.
- Masukkan beras dan kacau-kacau rata dalam 5 minit.
- Masukkan air,garam dan kiup pati ayam. Kacau.
- Masak lah nasi seperti biasa.
- Bila air kering , boleh masukkan kismis dan gajus. Kacau sekali untuk naikkan beras dibahagian bawah ke atas pula supaya nasi dapat masak dengan rata. Jangan lupa rasa garamnya.
[ Kebetulan saya ada gajus bakar, so saya  taburkan sedikit di atas bila nasi sudak masak]

Boleh dimakan bersama:
- Sambal tumis : Sama resepi seperti sambal nasi lemak.
- Ayam goreng : Untuk mengenakkan lagi rasa ayam goreng, eloklah diperap ayam dengan kunyit, halia kisar, bawang putih kisar dan garam selama satu jam atau semalaman. 
- Ulam2an : Timon dan tomato atau sayur2an segar lain.
- Telur rebus.

Itu je..selamat mencuba!!

Sunday, June 26, 2011

Beef Stew With Spaghetti


Bahan-bahan
    • Spaghetti (atau pasta2 lain pun boleh) - 1 peket (direbus sederhana empuk)
    • Bawang besar - 1 biji (di potong dadu kecil-kecil)
    • Daging - 300gm (dipotong dadu)
    • Kentang - 2 biji (dpotong dadu)
    • Lobak merah - 2 batang (dipotong dadu)
    • Tepung gandum - 2 sudu besar
    • Keju chedar - 2 hirisan/parut
    • Butter - 1 sudu esar
    • Jus buah lemon - 1/2 biji ( a squeeze)
    • Air putih - 3-4 cawan (atau sekadar menutupi bahan-bahan)
    • Serbuk herba seperti thyme, rosemary,parsley and bay leaves -ikut rasa
    • Minyak zaitun untuk menggoreng - secukupnya
    • Garam - secukupnya
    • Serbuk lada hitam -  2 sudu besar atau ikut rasa
    • Fresh parsley sebagai hiasan (jika ada)
Cara-cara:
  1. Panaskan minyak zaitun di dalam periuk.
  2. Tumis bawang besar hingga keemasan
  3. Masukkan daging kiub dan kacau hingga daging masak rata
  4. Masukkan kentang dan lobak merah yang dipotong dadu itu dan kacau.
  5. Masukkan serbuk2 herba, garam dan serbuk lada hitam.
  6. Kacau sebentar dalam 5 minit.
  7. Masukkan tepung gandum (bahan pemekat) dan kacau pantas supaya tepung tidak berketul2.
  8. Masukkan air secukupnya untuk menutupi bahan2 atau boleh tambah sedikit kemudian..
  9. Kacau rata dan tutup periuk. Biar sehingga daging benar2 empuk dengan api kecil.
  10. Setelah daging empuk, tutup api.
  11. Masukkan  keju, butter dan jus lemon. Gaul rata.
  12. Tuang stew semasa panas ke atas pasta dan di hiasi dengan daun parsley segar. 
Note: Resepi ini adalah resepi Chef Jamie Oliver yang sempat disalin dari salah satu rancangan masakan di TV.

Wednesday, June 22, 2011

Kem Aspirasi Kepimpinan Di Nur Lembah Pansun, Hulu Langat - Kem Mirza Yang Pertama

Awal perancangan hari ini sebenarnya adalah membuat biskut coklat cip untuk dihantar ke pejabat adik dan beberapa 'outlet' yang biasa ku hantar, namun terpaksa ditunda ke minggu hadapan kerana bekalan air disekitar Lembah Kelang dijadualkan akan dicatu/potong mulai pagi ini hingga Jumaat atasi kerja-kerja penyelenggaraan dan naik-taraf. Memang pun, pagi ini kelihatan aliran air paip agak perlahan dari biasa.
Pagi ini juga, Mirza (anak cayang Mama) , telah bergerak menyertai rombongan sekolahnya (Tingkatan 1 dan 2 Sekolah Menengag Subang Bestari)  ke Kem Aspirasi Kepimpinan Di Nur Lembah Panson, Hulu Langat. Ini merupakan kem yang pertama Mirza sertai dan biasalah sebagai seorang  ibu yang sentiasa perihatin, sejak 2-3 hari lepas lagi aku sudah mula menasihati dia untuk menjaga diri , apa yang seharusnya dia buat dari perihal tidor,makan, mandi, pakaian dan bermacam2 lagi. Almaklumlah, selama ini memang segala makan-minum dan pakaian sehariannya memang aku yang mengaturnya. Dia akan tetili mendengarnya dan menganggukkan kepala tanda akur.
Walaupun tempoh kem ini cuma satu malam sahaja, namun begitu di saat ini aku telah mula merinduinya. Mama sentiasa doakan Mirza sihat, selamat dilindungi Allah semasa di sana dan dapat menimba ilmu yang baik sebanyak mungkin dari pengalaman kem ini, 
Di bawah adalah beberapa foto semasa menjalani Kem Aspirasi Kepimpinan Di Nur Lembah Pansun, Hulu Langat yang di ambil oleh fotografer amatur Mirza. Maaf mungkin gambar tidak berapa jelas.



Terdapat sungai kecil berdekatan dengan resort



Dewan Makan

Tempat Penginapan Pelajar-Pelajar



Surau

Pelajar-pelajar sedang khusyuk mendengar syarahan dari pakar motivasi
Gambar beramai2 sebelum beredar pulang

 ~ Harap ini dapat memberi gambaran kepada anda mengenai persekitaran di Nur Lembah Pansun, Hulu Langat Selangor sekira anak juga berpeluang menyertai program kem ke sana kelak ~


Wednesday, June 15, 2011

YM oh YM!!

Semalaman malam tadi hingga hampir pukol 4 pagi, mata ini tiada dapat lelap. Rasa mengantuk begitu amat terasa sekali dan mata semakin pedih, namun fikiran masih terlayang-layang entah ke mana-mana memikirkan sesuatu yang tidak jelas membuatkan aku sukar untuk lelap. Adakah kerana angkara nescafe tarik kurang manis yang ku minum di restoran Mak Uda , bersantai bersama rakan sesekolah yang sekian lama tiada berjumpa.  Atau kerana berbagai persoalan di benak fikiranku ini yang masih belum ada jawapan. Mengapa aku begitu bingung sekali! Untuk menghabiskan masa, maka kulayari facebook dan membaca emel-emel  melalui handphone kesayangan ku yang sudah uzur.  Dalam ku membaca emel, secara tiba-tiba menerima satu ketukan YM dari sesorang yang tidak dikenali. [ untuk makluman , Yahoo Email  yang saya versi yang 'integrated' with YM , boleh emel dan ym sekali] Dari bunyi namanya seperti perempuan Mat Salleh tapi bila pulak aku add dia di YM?? Langsung tak ingat. 'Hey u there!' ..dia menegur. To my curiosity, aku pun membalasnya ' Hi.....'  .  'Are you feeling lonely?'..balasnya lagi. Hmm..lain macam je pertanyaannya. Aku pun balas balik pulak tu ' Do I know you T...?'.... Secepat kilat , dia menjawab lagi. Tiada pulak aku ingat apa jawapannya tetapi ianya tidak menepati soalanku. Aku teruskan memberi respon dengan pertanyaan-pertanyaan yang lain, ingin mengetahui dengan lebih lanjut bagaimana dia dapat YM id aku. Tapi semua jawapan yang diberi tiada langsung menjawap pertanyaan-pertanyaanku. Aku pun mulalah  naik 'hangin'!! Dalam pada itu, hati ini mengesyaki  sesuatu yang tidak kena dengan perempuan Inggeris ini. Orang atau hantu.
Kali ini ku cuba mesejnya dengan menaip satu huruf saja dan lihat samada ada respon atau tidak darinya.  Ehwah... ada!! . Ku taip lagi satu huruf dan enter. Dia membalasnya. Ku taip satu huruf, dia balas lagi. Dengan ayat yang terus berbaur menggoda. Oh please!! You are talking to a woman..you stupid shit!!!! ..itulah hentaman akhir dariku. Hah..ambik ko! Selepas itu, terus saja aku 'delete' namanya dari 'contact list'
Hahaha....tatkala itu barulah aku sedari bahawa mesej-mesej yang kuterima tadi adalah merupakan 'prescripted' atau 'auto-responded messages' yang telah disusun-atur ke dalam yahoo messenger, yang mana akan diaktif  secara otomatik sebaik saja status YM penerima menjadi 'online' dan terdapat   'response' walaupun penghantarnya tiada di depan komputer. Bijak kan?? Berbagai ragam dan semakin kreatif pula cara orang menggunakan teknologi komputer sekarang ya, sehingga untuk melacur diri pun ada.
Nasib baiklah aku (seorang wanita juga)  yang menerimanya, tapi bagaimana jika perkara ini berlaku kepada seorang lelaki, suami anda  atau anak-anak yang masih muda remaja??? Jika tiada pengawasan dari ibu/bapa dan sikap berhati-hati dalam diri sendiri,  bimbang ini boleh menjurus kita kepada satu masalah yang  mengancam keselamatan kelak. Penipuan dan penyamaran memang sukar dikawal di alam siber.  Maka, kita lah yang harus sentiasa berwaspada. Tapi persoalan masih belum terjawab. Bagaimana dia mendapat YM id ku dan bila pula aku accept??? Hmmmm..


 ~Selamat bertugas dan menjalani hari-hari anda dengan terbaik mungkin~

Wednesday, June 8, 2011

Percutian Di Bandung - May 2011

Memang sudah lama teringin hendak ke Bandung, almaklumlah ianya salah sebuah bandar di negara jiran yang 'hot' diperkatakan orang sebagai 'Shopping Paradise/Heaven' kerana kemurahan harga barang2 ditawarkan, selain Ho Chi Minh di Vietnam atau Guangzhou dan Beijing di China.. Biasalah naluri seorang yang bernama wanita, sebut saja shopping mulalah seronok. Perancangan awal hendak ke Brunei dibatalkan dan kami tukar destinasi percutian kali ini ke Bandung. Alhamdulillah, ianya menjadi kenyataan pada tarikh 29 Mei 2011 hingga 4 June 2011, kami sekeluarga menghabiskan awal cuti seminggu penggal persekolahan baru-baru di sana. Tempoh seminggu di sana terasa amat singkat pula, baru saja sampai dah hendak balik. Walaubagaimanapun, sempatlah juga kami melawat tempat2 yang pernah dicadangkan oleh rakan-rakan, saudara-mara atau melalui internet   yang mana antaranya adalah :
1) TANGKUBAN PRAHU , iaitu sebuah kawah bekas Gunung Berapi yang terletak di daerah Lembang.  Masa perjalanan yang diambil dari hotel penginapan kami di Aston Braga Hotel & Residence adalah kira-kira 40 minit(atau ~20-30km dari bandar Bandung).
 Untuk hala perjalanan pergi, Supir kami yg bernama Adi, telah membawa melalui jalan-jalan kampung dan ini memberi kami peluang untuk melihat pemandangan perkampungan dan persisiran pergunaungan yang menghijau. Ternyata ianya tidaklah sesesak seperti di tengah bandar Bandung, Perjalanan naik ke atas mengingatkan kami akan perjalanan ke Cameron Highland , Genting highland dan Gunung Kinabalu, adakalanya curam dan jarang sekali rata. Gayat juga..hehehe..
Ini adalah beberapa shot gambar bekas kawah gunung berapi Tangkuban Prahu, yang hingga kini masih lagi kelihatan asap sulfur keluar dari beberapa corong gunung.  Menakjubkan!! Cantik sekal. Subhanallah. Allahuakbar. inilah adalah antara kekuasaan  Allah yang Maha Agung yang menguasai alam semesta. Berikutan dari beberapa sumber , terdapat lebih kurang 10 buah kawah gunung berapi di persekitaran Tangkuban Prahu, namun kami hanya pergi satu saja.
Suhu di atas amat menyenangkan sekali, sekitar 18- 20 darjah Centigrade. Kelihatan ramai pelancong dari Malaysia (berbas2) semasa kami tiba di atas seolah2 macam di Penang pula.Terdapat deretan warung2 beratap nipah di tepi gunung menjual cenderahati untuk pelawat bawa pulang, tidak kurang ramai juga penjual jalanan yang akan serbu kepada pelawat menjual cenderahati di situ. Dan biasanya penjual jalanan (street peddlers) ini akan menjual jauh lebih mahal (tripple) dari harga dikedai.
Tip: USAH LAYAN DAN JUST SAY 'NO'.
Kami tiada membeli satu pun di situ

2) Tempat menarik kedua yang sempat kami singgah dalam perjalanan balik adalah LADANG STRAWBERRY di kawasan Lembang juga (oleh kerana hari hujan, kami batalkan rancangan hendak ke Sari Ater Hot Spring yang mana menurut Adi  cuma 15 minit perjalanan saja dari Tangkuban Prahu). Di situ pelawat dibenarkan pilih, memetik sendiri dan membeli buah-buah strawberry yang masih segar terjuntai di pokok. Memang ada kolam air panas dalam kawasan Tangjkuban  Prahu itu juga sebenarnya (just before reach the top) namun supir dan rakan tidak menggalakkan pergi kerana jaraknya yang agak jauh turun ke bawah (about 1.2km ) dan dengan berjalan kaki pasti akan memenatkan.

                        
      

Harga yang dikenakan adalah dalam 6000 rupiah untuk satu oz. Rasanya tidaklah manis dan tidaklah pula masam, ok2 saia. Kalau ingin merasa, bolehlah  cuba petik sedikit saja dahulu. Sebenarnya, hanya 2 tempat peranginan yang sempat kami pergi, mungkin perancangan masa tidak berapa tepat kali ini. Banyak masa dilebihkan kepada pusat-pusat  membeli belah Factory Outlets saja (dengarnya ada berpuluh2  FOs di dalam bandar Bandung) yang mana sempat kami singgah adalah Rumah Mode,  Gossip, Grande, Donatello, Blossoms, Tas & Shoes Terminal, Heritage, Glamor, The Secrets dan Wanted.  Namun apa yang dapat kami simpulkan disini adalah barangan yang dijual terutamanya pakaian ,beg tangan  dan kasut (replicated atau rejected genuine) adalah hampir serupa sahaja, begitu juga dengan harga yang tiada banyak beza di antara satu FO dengan FO yang lain, sekiranya mata wang rupiah ditukar kepada RM. 
Manakala restoran-restoran atau tempat makan yang kami sempat kami cuba untuk makan tengahari atau malam adalah Nasi Padang Sederhana (nasi padang) , Kampung Daun Restaurant (nasi timber bakar), Kembara Cafe (Sundanese food) , D'Cost restaurant (Sundanese food) ,  Warung Sate Shinta (Sate dan grilled food)  dan juga di Pasar Baru (bakso). 'Gurami Bakar' adalah sejenis masakan ikan goreng garing masak kicap ala2 Sundanese yang amat2 digemari oleh anak2 saya, memang tidak lupa untuk pesan kalau ke restoran. Manakalau minuman jus yang bagi saya amat enak, pekat dan fresh adalah Alpukat Juice (jus avocado) yang di tambah dengan coklat cair sebagai penampah rasa dan rupa. Memang segar dan sedap. 
Sesuatu yang baiknya tentang suasana di Bandung selain makanannya yang enak-enak dapat saya perhatikan adalah tiada seekor nyamuk pun yang saya terjumpa sepanjang berada di sana, samada di hotel, di restoran dan mahupun di pusat membeli-belah. Kebersihannya kelihatan lebih baik dari di Selangor atau mungkin pengairan yang memang dikawal dengan baik maka itulah hasilnya. Jika anda ke sana, cubalah perhatikan.

Link within

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...